Kerjaya kelab Benjamin Mendy

Le Havre

Pada 24 Julai 2011, Mendy telah menandatangani kontrak profesionalnya yang pertama selama tiga tahun bersama kelab Ligue 2, Le Havre.[4] Mendy melakukan penampilan sulungnya pada 9 Ogos 2011 dalam pusingan kedua Coupe de la Ligue menentang Amiens.[5]

Marseille

Pada 8 Julai 2013, Mendy berpindah ke kelab Ligue 1, Olympique de Marseille.[6] Mendy telah diikat oleh pengurus Élie Baup yang mengendali Marseille menduduki tangga kedua liga pada musim yang lalu sekali gus berjaya melayakkan diri ke Liga Juara-Juara.[7] Beliau melakukan penampilan sulungnya dalam saingan Ligue 1 pada 11 Ogos ketika menentang Guingamp. Beliau menjaringkan gol pertamanya untuk Marseille pula pada 24 September semasa menentang Saint-Étienne. Mendy beraksi dalam perlawanan pertamanya di kejohanan Eropah pada 1 Oktober pada aksi menentang Borussia Dortmund. Namun, Marseille tewas dalam kesemua perlawanan peringkat kumpulan lalu tersingkir daripada kejohanan itu. Baup kemudiannya telah dipecat dan digantikan oleh bekas pengurus kelab, José Anigo.[8] Mendy digunakan dengan jarang oleh pengurus Anigo pada penghujung musim. Beliau hanya tampil sekali sebagai kesebelasan utama dalam 14 perlawanan terakhir Marseille. Persembahannya sebagai kesebelasan utama ketika menentang Lille pada 20 April 2014 telah dikritik oleh bekas pemain bek kiri Marseille, Éric Di Meco yang mendakwa bahawa beliau akan "memakan seekor tikus" sekiranya Mendy berjaya mewakili pasukan kebangsaan Perancis.[9] Selepas tamatnya musim, Mendy telah dimasukkan ke dalam senarai 40 pemain dalam anugerah Golden Boy 2014.[10]

Mendy mengembangkan bakatnya pada musim berikutnya ketika dibimbing oleh pengendali dari Argentina, Marcelo Bielsa. Mendy menyatakan bahawa Bielsa telah "memberikannya semula kekuatan dan ketegasan yang beliau telah hilang pada tahun lalu."[11] Mendy tampil sebagai kesebelasan utama pasukan dalam 33 perlawanan liga pada kempen 2014–15 dan melakukan enam bantuan jaringan gol. Kempen pada musim itu juga menyaksikan Marseille berjaya layak ke Liga Europa. Pada 23 September 2015, Mendy telah dilayangkan kad merah dengan serta-merta selepas beliau beraksi sebagai pemain gantian pada aksi menentang Toulouse. Beliau dibuang padang ekoran melakukan kekasaran ke atas pemain lawan iaitu Jean-Daniel Akpa Akpro.[12] Mendy juga digantung dua perlawanan lalu terlepas 13 perlawanan Marseille yang seterusnya apabila beliau mengalami kecederaan pada perlawanan menentang Caen dalam aksi Coupe de France pada 3 Januari 2016.[13]

Mendy beraksi dengan lima pengurus yang berlainan sepanjang tiga musimnya di Stade Vélodrome. Beliau telah beraksi dalam 101 perlawanan kompetitif bersama Marseille dan membantu 14 jaringan gol.

Monaco

Pada 22 Jun 2016, musuh seteru Marseille iaitu Monaco mengumumkan bahawa pihak mereka telah mengikat Mendy dengan kontrak selama lima tahun.[14] Mendy melakukan penampilan sulungnya untuk Monaco pada perlawanan pertama pusingan ketiga kelayakan Liga Juara-Juara menentang kelab Turki, Fenerbahçe pada 27 Julai. Pada 18 Disember semasa aksi menentang Lyon dalam perlawanan liga, Mendy dilayangkan kad merah setelah beliau menendang belakang pemain Lyon, Corentin Tolisso. Perlawanan itu menyaksikan beliau telah dibuang padang buat kali kedua selepas beliau dibuang padang dalam perlawanan play-off Liga Juara-Juara menentang Villarreal.[15] Mendy telah digantung sebanyak lima perlawanan ekoran insiden itu sebelum ia dikurangkan kepada empat perlawanan. Beliau kembali beraksi semula bersama pasukan pada 22 Januari 2017 ketika menentang Lorient.[16][17]

Pada 4 Februari, Mendy membantu dua jaringan gol Monaco melalui hantaran lintang kepada penjaring iaitu Valère Germain dan Radamel Falcao dalam kemenangan 4-0 ke atas Nice pada aksi liga.[18] Mendy menjaringkan gol pertamanya untuk Monaco ketika perlawanan Coupe de France menentang kelab lamanya, Marseille pada 1 Mac. Jaringan itu dihasilkan pada masa tambahan sekali gus memberikan kelebihan kepada Monaco dengan kedudukan 3-2. Mendy juga menyumbang kepada dua jaringan pasukannya lalu membantu Monaco untuk meraih kemenangan 4-3.[19] Monaco mara ke peringkat separuh akhir Liga Juara-Juara dan Mendy telah pun melakukan empat bantuan jaringan gol sepanjang kempen itu sebelum mereka disingkirkan oleh Juventus.

Mendy merupakan tonggak utama Monaco untum merangkul kejuaraan Ligue 1 pada musim 2016-17. Beliau beraksi sebagai pemain kesebelasan utama dalam 24 perlawanan liga ketika di bawah pengendali Leonardo Jardim. Monaco telah menjaringkan 107 gol sepanjang kempen dan Mendy bersama Djibril Sidibe telah dipuji dengan permainan menyerang mereka.[20][21] Pada 16 Mei, Mendy telah disenaraikan ke dalam Pasukan Terbaik Tahunan UNFP 2017 UNFP bersama dengan lima rakan sepasukannya.[22] Pada hari seterusnya, Monaco merangkul gelaran Ligue 1 selepas menentang Saint-Étienne pada hari kedua terakhir musim. Perangkulan ini merupakan kejayaan pertama Monaco selama 17 musim. Perlawanan itu juga merupakan perlawanan terakhir Mendy bersama Monaco.[23] Selepas musim itu, Mendy sebahagian daripada pemain Monaco yang berpindah dari Stade Louis II termasuklah Bernardo Silva, Tiémoué Bakayoko dan seterusnya Kylian Mbappé.[24][25]

Manchester City

Pada 24 Julai 2017, kelab Manchester City telah berjaya mendapatkan Mendy dengan kontrak lima tahun[26] dan bayaran perpindahan yang dilaporkan sebanyak 52 juta paun sterling.[27] Nilai perpindahan itu telah menutupi rekod perpindahan pemain pertahanan sebelum ini yang dipecahkan pada sepuluh hari lalu oleh pemain City, Kyle Walker. Pada 23 September, Mendy mengalami kecederaan pada aksi menentang Crystal Palace selepas lutut kanannya berlanggaran dengan penyerang Palace, Andros Townsend.[28] Pihak kelab kemudiannya memaklumkan bahawa ligamen krusiat anterior pada lutut Mendy telah retak dan beliau perlu menjalani pembedahan di Barcelona pada 29 September.[29] Mendy kembali daripada kecederaan pada 22 April 2018 dengan menggantikan Fabian Delph pada minit ke-75 dalam aksi menentang Swansea City.[30] Lima penampilan liga beliau yang minimum ini telah diperlukan untuk meraih pingat kemenangan Liga Perdana Inggeris. Pada musim 2018-19, Mendy telah beraksi dalam sepuluh daripada 12 perlawanan pertama Liga Perdana Inggeris untuk City selain beliau membantu lima jaringan gol untuk pasukannya.[31] Pada 14 November 2018, beberapa hari selepas City menang 3-1 ke atas Manchester United, diumumkan sekali lagi bahawa Mendy akan menjalani pembedahan[32] di Barcelona kerana masalah rawan pada lutut kirinya dan beliau dijangka akan berehat selama 12 minggu.[33]

Rujukan

WikiPedia: Benjamin Mendy http://www.africatopsports.com/2013/07/13/elie-bau... http://www.asmonaco.com/en/article/benjamin-mendy-... http://www.asmonaco.com/en/player/benjamin-mendy-2... http://bleacherreport.com/articles/2707470-monaco-... http://bleacherreport.com/articles/2725005-benjami... http://www.espnfc.com/report?gameId=424679 http://www.espnfc.com/story/3190925/kylian-mbappe-... http://www.eurosport.com/football/coupe-de-france/... http://www.goal.com/en/news/8/main/2017/03/16/3369... http://www.hac-foot.com/actualite/benjamin-mendy-s...